Wanita yang mesra disapa Angah dalam kalangan ahli keluarganya itu hilang selepas gagal dihubungi pada 26 Ogos lalu, hari sepatutnya dia habis bekerja sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Azmi yang kesal dengan persepsi berkenaan berkata, dia juga berperasaan yang orang ramai menganggap kes ini sebagai ‘biasa’ kerana kes kehilangan dilihat kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
“Terkilan sedikit sebab orang anggap biasa dan ingat ikut (teman) lelaki. Itu anak kami, kami yang menanggung. Cuba anda berada di tempat kami.
“Kami sekeluarga setiap hari menanti perkembangan mengenai Angah, di mana dia, sudah makan ke, selamat ke sebab kali terakhir saya hantar dia di stesen bas, dia tidak membawa apa-apa selain beg tangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawa, di sini.
Azmi berkata, anak kedua daripada empat adik-beradik itu juga berkelakuan seperti biasa sebelum kehilangannya.
“Tidak nampak seperti merajuk atau kecil hati kerana dia ceria saja. Cuma dia mengadu sakit kepala ketika saya menghantar dia ke stesen bas untuk ke KLIA.
“Pagi itu saya hantar dia ke klinik dan doktor sudah memberikan cuti sakit sehari tetapi dimaklumkan yang dia terpaksa bekerja pada hari itu (23 Ogos),” katanya.
Mengenai pergaulan anaknya, Azmi berkata, dia sekeluarga mengetahui dengan siapa Nurul Atiqah berkawan.
“Kalau ada teman lelaki atau sesiapa, memang kami akan tahu dan kenal kerana selalunya temannya itu akan datang ke rumah dan memaklumkan kepada kami.
“Setakat ini pun, tiada apa-apa perkembangan mengenai anak saya, tiada ugutan, tiada apa-apa berita,” katanya yang bertugas sebagai penyelia dan terpaksa mengambil cuti sehingga hujung minggu ini.
Sementara itu, ibu kepada Angah, Noraini Haromi, 43, yang lebih rapat dengan anaknya itu sebak ketika ditemubual memikirkan nasib yang menimpa anaknya itu.
“Angah kadangkala mengadu juga dengan saya yang dia penat berulang-alik ke tempat kerja. Kadang-kadang bercerita mengenai kawan-kawan. Tiada pula yang pelik-pelik.
“Dia anak yang penyayang, rapat dengan adik-adiknya dan kalau ada masa cuti dia akan bawa adik-adik keluar makan dan jalan-jalan,” katanya.
Nurul Atiqah bekerja di KLIA sejak dua bulan lalu sebaik menamatkan latihan selama empat bulan dalam bidang khidmat pelanggan.
Sebelum kehilangannya, keluarga bercadang untuk menyediakan pengangkutan dan rumah sewa yang lebih dekat dengan dengan tempat kerjanya supaya tidak perlu lagi berulang-alik selama sejam setiap hari.
Azmi dalam masa sama mengharapkan agar sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu agar tampil di balai polis yang terdekat.
“Kalau ada sesiapa ternampak atau ada maklumat tolong sampaikan ke balai polis atau telefon saya, 018-9526773 atau 013-2807915. Lebih baik kalau dapat jumpa terus bawa ke balai untuk pastikan dia selamat,” katanya.
Azmi membuat laporan polis di Balai Polis KLIA pada 27 Ogos lalu selepas mencari anaknya di tempat kerja tetapi diberitahu yang anaknya tidak hadir bekerja sejak 23 Ogos.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan Nurul Atiqah.
EmoticonEmoticon