KUALA LUMPUR - "Cepat sembuh Syara Eryyna. Mama, Abii dan Elman rindu kakak Syara lari-lari dalam rumah, gelak sama-sama, dengar kakak menyanyi kuat-kuat," demikian luah Fara Fauzan Ramizun di Facebooknya pada 28 Ogos lalu.
Menurut Fara, pada awalnya muncul bintik-bintik kecil seperti ruam di kaki anak perempuannya itu.
"Saya sapu Calamine Lotion sebab ingatkan ruam. Keesokkannya bintik-bintik itu semakin timbul. Bawa ke klinik, doktor beri ubat sapu tetapi masih tak pulih dan semakin melarat. Terus bawa ke hospital dan doktor bagi ubat makan dan sapu," katanya.
Ibu kepada dua anak itu bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti dari mana anaknya terkena semburan racun semut Charlie itu. Namun tidak menolak kemungkinan bahawa ia berlaku di kawasan rumah dan di dalam rumahnya sendiri.
"Dah berapa hari dia terlantar tidur saja. Nak letak ubat pun menangis menahan sakit. Kasihan," katanya.
29 Ogos, Fara memaklumkan bahawa doktor telah mengesahkan keadaan kaki anaknya begitu berpunca dari semut Charlie. Syara juga dimasukkan ke wad untuk pemantauan pihak hospital.
3 September, doktor telah memecahkan gelembong air di kaki Syara dan dicuci menggunakan air antibiotik. Proses itu menyebabkan mangsa merenggek kesakitan dan menangis.
Rabu lalu, Syara telah dibenarkan pulang ke rumah, namun masih perlu datang ke hospital untuk mencuci luka.
"Alhamdulillah, Syara sudah discharge. Cuma perlu datang ke hospital setiap hari untuk cuci luka. Syara sudah cuba berjalan perlahan-lahan," kata Fara.
Pada hari yang sama, Fara juga berjaya mengesan sejumlah semut Charlie di koridor rumahnya dan meminta pihak bertanggungjawab datang untuk membuat semburan bagi menghapuskan semut Charlie tersebut
EmoticonEmoticon