SABAK BERNAM - “Kak, kalau esok aku mati, di bawah rumah kau nilah…aku tenang kat (di) sini kak,” itu antara kata yang dilafaz Rosli Kadol, 48, kepada kakaknya, Misah Kadon, 68, minggu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, Rosli yang ditemani anaknya, Mohd Adam, 8, sedang memberi ayam makan sebelum anak sulungnya itu menyedari bapanya itu tiba-tiba terkulai di kerusi bawah rumah Misah.
Misah yang menetap sementara di rumah anaknya di Sungai Buloh berkata, kali terakhir dia bertemu adik bongsu daripada 14 beradik itu pada minggu lalu dan mereka sempat berbual di bawah rumah berkenaan.
“Tak sangka apa yang arwah (Rosli) cakap minggu lepas, rupa-rupanya jadi kenyataan.
“Apa yang dia sembang hari itu masih terngiang-ngiang di telinga saya sampai hari ini…seakan-akan arwah (Rosli) tahu dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya kepada Sinar Harian.
Misah berkata, dia hanya menyedari arwah yang menetap di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar, meninggal dunia selepas diberitahu anak lelakinya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung.
Isteri Rosli, Purwati Daryat, 28, berkata, dia yang bekerja sebagai tukang sapu di Kuala Lumpur hanya mengetahui kematian suaminya itu selepas dihubungi Mohd Adam.
“Anak saya telefon beritahu ayah dah meninggal. Mulanya saya ingatkan dia main-main, tapi dia bersungguh-sungguh cakap ayah dah meninggal atas kerusi bawah rumah makcik.
“Waktu tu, badan saya menggeletar seolah-olah hampir pengsan bila dengar suami dah tiada lagi di dunia ni,” katanya.
Katanya, kali terakhir dia menghubungi suaminya yang bekerja sebagai peraih ikan di Bagan Sungai Besar, dua jam sebelum kematiannya dan arwah sempat berpesan supaya dia pulang ke kampung.
EmoticonEmoticon