Mahkamah Rayuan kekal hukuman mati
Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini hari ini, mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang ahli perniagaan kerana membunuh eksekutif pemasaran wanita di Sungai Petani, Kedah, 10 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak rayuan Shahril Jaafar, 35, untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 9 Ogos tahun lalu, menjatuhkan hukuman mati selepas mendapati Shahril bersalah membunuh Chee Gaik Yap, 25, di Taman Ria Jaya, berhampiran Kelab Cinta Sayang Sungai Petani antara 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan jam 3.05 pagi, keesokannya.
Chee, dirogol dan mayatnya dicampak di kawasan perumahan itu selepas diculik ketika berjoging. Wanita itu, graduan Universiti Utara Malaysia dipercayai diekori penyerangnya ketika berjoging.
Dalam menyampaikan keputusan penghakiman, Mohd Zawawi berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu disokong dengan bukti, sambil menambah hakim perbicaraan tidak terkhilaf yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Dua hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim.
Terdahulu, peguam Shahril, Shamsul Sulaiman berhujah bahawa anak guamnya bukan orang yang menyebabkan kematian Gaik Yap walaupun dia mengaku bertemu dengan wanita itu pada malam kejadian tetapi mangsa masih hidup ketika meninggalkannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah berkata pembelaan Shahril, yang memberikan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, adalah sesuatu yang difikirkan kemudian bagi mengelak sabitan membunuh.
Pada 25 Jun 2013, Shahril, anak seorang kenamaan bergelar Datuk, dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Alor Setar tanpa dipanggil membela diri.
Bagaimanapun, selepas rayuan pihak pendakwaan, keputusan itu diketepikan Mahkamah Rayuan tahun lalu, selepas mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh yang memerlukannya membela diri terhadap tuduhan membunuh.
EmoticonEmoticon