Wednesday, 30 November 2016

“Ayun Pak Denak, Sampai Kola Peghelih, Tidoq Tak Seronok, Nak Nikah Tak Boleh!” — Pak Yus Jambu, Ini Cerita Muliamu

Tags
loading...

HARI INI, 30 November, menandai genap setahun Allahyarham Pak Yus Jambu meninggalkan kita. Kami menjejak insan-insan terpenting dalam riwayat hidup Arwah Pak Yus Jambu. Bacalah, tentang KEMULIAAN HATI seorang lelaki. Dia bukan ahli komedi. Dia adalah ABANG, SAUDARA dan SAHABAT DUNIA AKHIRAT buat Shuib Sepahtu Shuib Sepahtu Nabil Ahmad Tauke JAMBU Bocey Sepahtu Sinar Jep Sepahtu Maharaja Lawak Mega 2016
Hatinya yang mulia itu tertinggal bersama kita... DI SINI:


Sumber: Ihsan ASTRO 
=

YUSSRY BIN EDOO DALAM KENANGAN 

MELEMBARKAN sejarah kelucuan Kumpulan Jambu tidak akan pernah sempurna tanpa menukilkan sejarah hidup kedesaan Pak Yus yang telah berpulang ke negeri paling abadi. Saya mengambil masa memperinci sejarah kewujudannya, satu demi satu. 
Sesudah bertemu empat mata dengan pasangan komersilnya, Tauke Jambu, saya gagal melelapkan mata, hampir setiap malam. Kegelisahan itu sukar sekali digambarkan. Lalu saya mengeraskan hati memburu kekanda sedarah sedagingnya, saudara Jaafar Edoo (Abang Paq). Saya merebut masa guru perfileman yang paling dihormatinya, saudara Sabri Yunus. Saya mencari pembantu peribadi terakhirnya, Awe, pria Kelantan yang polos namun setia.
Dan yang terkemudiannya adalah Jon Ekzos, sahabat sejati dunia akhirat Almarhum Pak Yus yang tidak pernah ada dendam. Yang sama-sama pernah bergelandang sebagai pemain pentas, pernah diusir bersama dari rumah sewa, juga teman yang ditakdirkan berteleku memangku kepala almarhum saat dia menghembuskan nafasnya paling akhir.
Ini rindu terpendam seluruh Malaysia yang amat menyayangi seorang figura komedi yang kekampung-kampungan, yang berjiwa rakyat. Bacalah…

ZAMATUL AMRI ZAKARIA (TAUKE JAMBU)

Pasangan Komedi Arwah Pak Yus 

Bagaimana berbuahnya nama Jambu?

Tahun 2011 untuk Maharaja Lawak, saya berganding dengan Pak Yus. Satu hari, sedang disolekkan untuk show, saya bersembang-sembang dengan Pak Yus. Kami berbincang-bincang mencari nama kumpulan, terjeling pula peserta-peserta lain yang macho, yang handsome, yang ada rupa. Tak macam kami, kurang... “Kita tak handsome tak apa, asal Jambu. Walaupun kita tak jambu, tak apa, sebab nama kita Jambu!” Begitulah ceritanya.

Duit pertama Tauke terima sebagai penghibur?


Ada dua-tiga babak dalam filem Jutawan Fakir terbitan MIG melibatkan saya selepas program Pasport Sinaran. Peranannya teramatlah kecil. Nak kata supporting bukan, cameo pun bukan, ekstra pun bukan. Saya terima cek RM900 dari tangan David Teoh. Punyalah bersemangat mahu ambil cek, saya pandu Satria saya dari Johor Bahru sampai Kuala Lumpur, memang berlagak gilalah. Tak tahu apa saya buat dengan duit itu. Rasanya lebur pada telefon bimbit, kut? Lepaslah hajat pakai satu yang ada lampu kelip-kelip (ketawa). 

Sejarah persahabatan bersama Pak Yus mungkin sekejap. Tetapi dalam sekejap itu Tauke sempat mengenali Pak Yus, setuju?

Betul. Saya pernah menumpang di rumah arwah, mula-mula di Pantai Dalam, kemudian di Damansara. Saya lihat sendiri bagaimana layanan dan budi baik arwah terhadap kawan-kawan yang datang dari kampung, menumpang makan dan tidur. Siapa tak ada duit nak makan, dia tolong 'payungkan'. Kalau barang dapur habis, peti sejuk kosong, dia juga keluarkan duit. Kalau lauknya cuma telur goreng renjis kicap, pun tak jadi hal, dia makan dan kenyang sama-sama.
Ya, dia sanggup berkorban apa saja untuk kawan, tapi kalau dia kesempitan – saya rasa tiada siapa tahu, sebab dia tak pernah cerita. Orangnya tak berkira. Kami gelak ketawa bertepuk-tampar, makan Maggi semangkuk, tidur berhimpit tak mengapa. Dia juga rajin balas komen peminat-peminat di media sosial. Satu, satu dijawabnya. Sebab itu dia disayangi orang. Tak menyombong. Baginya, tak payahlah nak berprotokol-protokol sangat macam sesetengah artis zaman sekarang.
Sangkaan saya, adalah lebih baik dia disemadikan saja di Kuala Lumpur, tetapi nyata saya silap. Lautan manusia menunggu kepulangan arwah ke pangkuan desa tercinta. Semua ini kerja Allah SWT.

 

 

Arwah Pak Yus merangkul gelaran juara Raja Lawak musim pertama 2007. Tetapi kemenangan tetap tawar kerana dia masih tidak laku di pasaran. Lalu arwah merajuk sampai menjual kereta kemenangannya sebagai tanda protes terhadap industri, komen Tauke?

Saya rasa semua orang pernah merajuk. Saya sendiri pernah merajuk. Maaf cakap, tapi kadang-kadang saya rasakan seni ini membohong. Saya sudah korbankan banyak perkara, segalanya. Saya pernah kehilangan kerja, saya pernah menganggur, tak berduit, merempat. Seperti Pak Yus, saya lihat sendiri betapa susahnya dia kerana tidak banyak peluang datang meski sudah bergelar juara. Kadang-kadang, duit nak makan pun tak ada.
Kerana itu Pak Yus bawa diri ke Perlis, merajuk bawa hati yang lara. Sedih kerana industri masih tidak memberi ruang yang adil kepadanya.

 

Betulkah Arwah Pak Yus bermasalah menghafal lirik lagu persembahan? 

Betul, tapi pada minggu terakhir menyertai Juara Parodi, dia berjaya hafal kesemua lirik lagu. Saya masih ingat kata-kata Pak Yus kala selesai show terakhir bersama Kobis Pedas, “Aku hafal sampai dapat. Aku tak mau hampakan hangpa semua.”
Kami berpelukan, gembira bukan kepalang. Tak lama selepas itu, di grup WhatsApp, tiba-tiba dia menceceh, “Aku tak suka main WhatsApp dengan benda- benda tak berfaedah!”
Pelik juga. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba dia 'sound' macam tu. Yang hairannya jugak, dalam dia merungut pasal hal-hal WhatsApp, dia tetap hantar lirik lagu untuk persembahan yang seterusnya di grup WhatsApp kami. 

HAFIZ AKMAL MOHAMAD AMIN (AWE) 
Pembantu Peribadi Terakhir Arwah Pak Yus 

Ceritakan sejarah persahabatan Awe dengan arwah?

Saya kenal Pak Yus dan Tauke sekadar sebagai peminat. Saya orang Tanah Merah, menetap di Johor, bekerja di bahagian customer service, baru 21 tahun. Kali pertama berjumpa di Finas waktu Maharaja Lawak 2011. Waktu rehat, Pak Yus keluar dari dewan untuk uruskan baju-T Kumpulan Jambu, jadi saya ambil peluang untuk serbu Pak Yus, bersalaman, bergambar bersama. 
Kali kedua berjumpa, kami bertemu sebab kebetulan Pak Yus berada di Johor untuk Teater Sri Mersing. Melalui nombor telefon yang diberi oleh Kak Oyun (orang produksi juga), saya dapat berhubung dengan Pak Yus. Nak dijadikan cerita, personal assistant Pak Yus terpaksa balik ke Langkawi. Pak Yus pula memang tak mahir selok-belok jalan di Johor, lalu saya diminta temankan dia. 
Sumber: Ihsan ASTRO 

Sejak bila kalian akrab?

Saya merantau ke Kuala Lumpur tahun 2014 untuk mencari kerja sebagai IT technician. Tetapi saya ‘kantoi’ dengan Pak Yus di Facebook selepas saya check-in Kuala Lumpur. Terlihat saja saya menjejak kaki ke KL, Pak Yus terus angkat telefon, suaranya memetir, “Awat hang mai Kuala Lumpur tak habaq kat aku, hooiiiii?”
Suara dia bengang betul, “Awe, hang mai sini, hang mai rumah aku kat Selayang, hang tak payah buang duit duk hotel, hang duduk aje dengan aku,” perintah Pak Yus. Saya tak berani bantah. Dengan satu beg bunjut berisi sehelai dua baju, saya naik bas menuju ke Selayang. 
“Hang buat apa mai KL ni?” 
“Saya nak cari kerja Pak Yus,” jawab saya tertakut-takut.
Daripada tiga hari duduk di rumah Pak Yus, melarat jadi tujuh hari, saya pun tak berganjak-ganjak sebab Pak Yus tak benarkan saya balik ke Johor, “Hang duduklah lagi sehari kat sini, aku tak dak kawan nak teman,” pujuk Pak Yus. Diulangnya lagi setiap hari, setiap kali dia nampak saya melipat baju dan menyimpan berus gigi ke dalam beg bunjut saya.

Sikap yang selalu dicerminkan arwah sebagai seorang lelaki, sahabat dan penghibur milik masyarakat?

Pak Yus adalah satu-satunya jenis manusia yang tidak tahu marah. Pernah terjadi Pak Yus lewat ke lokasi shooting kerana saya tidur lambat dan terbangun lambat. Bahananya, lambat jugalah saya mengejutkan Pak Yus. Sewaktu nak mengejutkan dia daripada tidur, jantung saya bergempa kuat. Lutut saya menggigil. Mampuslah aku! Bisik saya dalam hati. 
Anehnya Pak Yus tenang sajja, “Tak apalah Awe, ini semua salah kita berdua." 
Orangnya juga terlalu pemurah. Ada masa-masanya, saya disuruh memandu ke rumah anak yatim, diserahkan kepada saya sampul surat putih berisi wang tunai.
Duit diberi tak sikit, kak. Kadang-kadang RM3,000. Pernah juga dia hantar sekepuk RM5,000. Kadang-kadang, duit show satu malam terus habis sebab dia membayarkan makan-minum orang lain dan peminat-peminat yang menggamitnya di kedai makan. Kadang-kadang tak kenal pun. Bayangkanlah.

Arwah kecewakah dengan keadaan industri yang tak berapa adil? Kerana industri masih mengangkat pemuda kacak, jaguh popular?

Pernah jugak arwah bangkitkan isu populariti. Arwah mengeluh, undian masih berpihak pada sentimen populariti, bukan pada aspek bakat, usaha dan kreativiti.

Sejak bila nampak arwah sakit?

Tiga tahun lalu, arwah sudah alami sakit darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis. Pernah dimasukkan ke hospital (sekali sebelum ini). Doktor dah nasihatkan arwah supaya menjaga pemakanan, konsisten ambil ubat.

Awe ada terkesan sebarang perubahan, 30 hari sebelum arwah pergi?

Setelah dia meninggal, baru saya sedar, ada beberapa petanda akhir yang sudah arwah tunjukkan, hanya kami saja yang tidak sedar, apakah makna perubahan-perubahan itu. Kejadian berlaku di Langkawi, untuk rakaman Sembang Pacak. Hari Isnin, kami sepatutnya pulang ke KL, tapi arwah buat keputusan untuk sambung penginapan. 
Saya ada sebut, “Pak Yus, last saya pergi ke Langkawi zaman saya sekolah tau.” Mendengarnya, arwah menyambut, “Kalau gitu, kita tak payah balik KL dulu. Kita lepak lagi kat Langkawi.”
Lebih aneh, Pak Yus bersetuju untuk menginap di sebuah hotel di tepi pantai. Saya maklum sangat dengan perkara- perkara yang menjadi kesukaan dan kebencian Pak Yus. Saya tahu, Pak Yus memang pantang duduk di hotel mengadap pantai. Dia lebih selesa menginap di hotel di tengah-tengah bandar, dekat dengan banyak fasiliti, katanya lagi, tak boring. Anehnya kali itu, dia akur dengan cadangan saya untuk menempah hotel yang mengadap laut biru terbentang. “Okeylah, untuk hang, kita duduk tepi pantai.”
Ada satu kejadian di mana kami dalam perjalanan naik ke Gunung Mat Cincang. Hendak dijadikan cerita — kami sampai lewat. Setibanya di sana untuk beli tiket, cuma tinggal setengah jam saja lagi sebelum akses ke Gunung Mat Cincang untuk pelawat ditutup. 
“Tak payah naiklah Pak Yus. Lain kali ada rezeki, kita datang lagi, kita naik, hari dah petang ni,” saya memujuknya.
Anehnya arwah berdegil nak naik juga, “Takpa, untuk hang kita naik jugak, ni untuk hang ni.”
Dari lereng bawah Gunung Mat Cincang, kami berdua menyeluruhi panorama Langkawi nan berbalam- balam. Riuh sungguh mulut arwah bercerita tetang kisah silamnya sewaktu tinggal di Langkawi, sambil bercerita sedikit-sedikit tentang Telaga Tujuh.
Baru 15 minit berada di lereng Gunung Mat Cincang, hujan tiba-tiba mengguyur, kami bertempiaran turun semula sambil tergelak-gelak ketawa seperti anak kambing terlepas dari kandang. Kembali ke hotel, saya terlihat ada senyuman yang amat puas terukir di bibir arwah. Hati saya digaru rasa pelik.
Seronok sangatkah Pak Yus bawa aku naik gunung tadi? Sudahlah sekejap, hujan pulak, huih, buang duit betul, hati saya berbisik-bisik. 
Malam itu hujan mengguyur lagi, lebih lebat. Pak Yus kelaparan, maka saya segera menawarkan diri untuk 'tapau' makan malamnya. Pak Yus berkeras mahu turun makan bersama walau hujan menggila, kilat sabung-menyabung. “Takpa, jom siap, kita pi makan,” katanya lagi, “Untuk hang, kita redah aja.”
Kami berjalan meredah remang hujan mencari tempat makan, singgah pula di sebuah kedai kasut. Baiknya hati Pak Yus, seperti selalu, dia membelikan saya sepasang kasut Converse berwarna biru yang dipilihnya sendiri.

 

Awe tak mengesyaki apa-apa masa itu?

Saya singgah di sebuah kedai, nak beli sekaki payung untuk Pak Yus, kasihan pulak tengok dia lencun kena hujan. 
“Tak payah!” Marah Pak Yus, “Hang basah, aku pun basah!” 
Kami makan dalam keadaan sejuk basah-kuyup. “Aku tak pernah lagi berjalan dengan orang basah-basah macam ni,” ceceh Pak Yus sambil memerah hujung baju-T yang basah-kuyup. 
“Habis saya nak beli payung, Pak Yus tak nak?” Saya memancung. “Takpa la, untuk hang, kita basah saßma-samalah...” ulangnya lagi untuk kesekian kali.
Hari Jumaat, Pak Yus keluar bermotor ke KLCC dengan adik angkatnya, Shahrul Amri. Mereka keluar berdua sepanjang hari. Sampai di rumah, Shahrul Amri mengadu kepada saya, “Hari ini, helmet kesayangan Pak Yus hilang sebab dia tinggalkan di motor. Tapi Pak Yus tak marah,” cerita Amri separuh takjub. Kata Amri, terlihat sahaja helmetnya sudah ghaib dari motor, Pak Yus terus berseru dengan muka serius, “Siapa ambil helmet aku ni, aku halalkan!”
Allah SWT seperti telah susun semuanya untuk arwah. Sepanjang Jumaat, Pak Yus mendampingi adik angkatnya, makan, minum bersama. Hari berikutnya, Sabtu, sehari sebelum meninggal dunia, Pak Yus meluangkan masa bersama kawan-kawan di rumah pula. Sabtu malam, kami menonton 'Ultimate Fighting Championship' (UFC), ada perlawanan di mana seorang fighter dari Mongolia bertarung. 
Sepanjang malam, Pak Yus tak berhenti ‘membahan’ fighter dari Mongolia itu yang katanya, bukan saja tiada muka ganas macam fighter, rambutnya pula jambu sangat macam rambut Radhi OAG!
Sepanjang game, kami ketawa terbahak-bahak kerana tak tahan dengan lawak Pak Yus yang bukan-bukan. Makan malam terakhir Pak Yus bersama kami, kami masakkan sambal telur, telur goreng malah sempat menumbukkan sambal belacan kesukaannya seperti selalu.
Seminggu sebelum Pak Yus meninggal dunia, saya menerima panggilan dari Telekom untuk hadir ke temu duga kerja (selepas gagal temu duga yang sama dua tahun lalu). Lantas saya minta izin Pak Yus untuk meminjam motornya. “Hang interviu apa ni?” Saya tak pandai berselindung, tak reti menipu, “Err... customer service, Pak Yus.”
“Haaaa, okeylah tu!” Selamba Pak Yus membalas. Saya hairan, kerana Pak Yus haram tidak menghalang seperti selalu. Sedangkan beberapa kali sebelum ini, setiap kali saya dipanggil untuk hadiri temu duga, pasti dibantah Pak Yus, meski katanya selalu kepada kawan-kawan lain, “Awe ni, kalau dapat kerja lain lebih baik, aku bagi dia pergi!” 
Sekembali dari interviu, Pak Yus menerpa dengan wajah teruja, “Hang dapat dah kerja tu?”
“Ish, baru pergi interviu Pak Yus, mana tahu dapat ke tidak?”
“Oooh, ingat kalau hang dah dapat, aku nak ajak hang keluar pi beli kasut, beli baju, beli seluar baru…”
Pada malam kejadian, saya tidak ikut Pak Yus ke persembahan Raja Band di Dataran Medeka kerana kereta penuh, maklumlah, kita bukan orang senang pandu Alphard atau Vellfire macam artis- artis besar lain. Yang mengikut Pak Yus ke Dataran Merdeka malam itu adalah Jon Ekzos, Pak Cu dan Abang Mi.
Malam itu, selesai sahaja memasakkan hidangan makan malam untuk Pak Yus, saya menerima panggilan telefon yang didail dari telefon arwah sekitar jam 11.00. Namun yang terdengar di hujung talian adalah esakan Jon Ekzos.
“Pak Yus dah takda...” Suara Jon Ekzos bergaul sama tangisan. 
“Apa yang tak ada?” Saya tak mengerti, kerana yang berputar di fikiran saya saat itu hanyalah nasi putih panas dan sambal telur enak kesukaan Pak Yus yang sudah saya hidangkan di meja. Apabila Jon Ekzos mengulanginya buat kali kedua, khayalan saya tersentap.
Allahu Akbar... Pak Yus! 
Saya, Shahrul Amri dan dua lagi kawan kampung Pak Yus memecut ke Hospital Selayang. Saya tunggu hampir setengah jam di luar bilik kecemasan, ternyata doktor berusaha sehabis daya untuk menyelamatkan Pak Yus. 
Sekejap-sekejap doktor keluar dan masuk semula membawa peralatan yang berlainan. Doktor mengesahkan Pak Yus meninggal jam 12.00 lebih. Kami menatap wajah Pak Yus yang sudah terbujur kaku di katil hospital, dalam pandangan kelam dirembas air mata.

Perginya tiba-tiba, mungkinkah ada sebarang hajat tak kesampaian? 

Banyak sebenarnya, Pak Yus pernah berangan mahu menukang sebuah filem dengan judul Jambu The Movie. Ada juga dia berhasrat untuk memulakan perniagaan percetakan, mengeluarkan baju-T dan kopi jenamanya sendiri di bawah bumbung syarikat yang sudah didaftarkan, Sanggar Pujangga Production. Nama itu datang daripada Kumpulan Teater Sanggar Pujangga yang digiati arwah bersama kawan-kawannya di Perlis sebelum bergelar artis.
Dan kalau diikutkan juga, bulan dua tahun 2016, duit yang dikumpul-kumpulnya sudah cukup. Pak Yus bercadang mahu tamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis yang baru dua bulan dikenalinya. Gadis yang disahabati dalam diam itu bernama Zila, bukan orang lain, peminat setia Kumpulan Jambu juga.
Mereka tak bercinta. Mereka berkawan. Tetapi saya tahu Pak Yus tidak bertepuk sebelah tangan. “Aku suka cara dia... Aku rasa, aku boleh pergi dengan dia,” begitu kata Pak Yus selalu, apabila dia cuba membaca dan menafsir intuisi perasaannya terhadap Zila. Pak Yus sudah rancang pelan untuk melamar. Saya pula diamanahkan mencari kawan Zila dan alamat rumahnya. Sayang sekali, cinta Pak Yus tidak sampai untuk kali kedua.              
Kesemua urusan pengebumian dibuat oleh pihak ASTRO, Dato’ Hattan, Dato' AC Mizal, Abang Afdlin Shauki. Maaf ada beberapa nama lagi tapi saya tak dapat nak ingat semuanya di sini (sebak). Lebih 3,000 orang hadir di majlis pengebumian Pak Yus. Terlalu ramai. 
Sebelum takbir pertama, terlafaz dari mulut pak imam, “Masya-Allah, solat Jumaat di masjid ini pun tak pernah seramai ini.”
Saya tak akan lupa suasana muram sepanjang perjalanan mengiringi van jenazah memulangkan jasadnya ke Perlis. Langit mendung kelabu, hujan merenyai tidak henti. Seperti seisi perut bumi dan langit menangisi pemergian Pak Yus. Jenazah Pak Yus dimandikan di Hospital Selayang, tiba di Perlis sekitar jam 12.00 tengah hari lalu dikambuskan ke liang lahadselepas solat Zohor.
Terima kasih yang tak terhingga kerana sudi sokong karier arwah Pak Yus dari mula hingga akhir (sebak). Saya mahu semua peminat dan pembaca InTrend tahu, Pak Yus tidak pernah menganggap kalian sebagai peminatnya. Kalian selamanya adalah sahabat, yang sama tingkat darjat dan martabat.

Jika Pak Yus masih hidup, apa yang mahu Awe katakan kepada dia?

Saya rindukan Pak Yus (diam, menangis). Dia banyak tolong saya (diam lagi, menangis).
Selesai mewawancarai Awe malam itu, saya memandu pulang merentas Maju Expressway (MEX) yang sunyi. Reputasi seniman tulen, dermawan, setiakawan dan tidak komersil — empat 'kunci' terhimpun dalam cepu fikir saya — ilustrasi awal akal budinya.
Apa lagi harus saya gali dan tukangi? Saya menekan butang CD nombor 3, tempat tersimpannya CD Zikir Munajat yang selalu kalah dengan CD runut bunyi Fifty Shades of Grey di butang nombor 6. Ah, malam ini, terasa kematian begitu hampir di cuping telinga. 

JAAFAR EDOO (ABANG PAQ) Edoo 

Abang Arwah Pak Yus 

Boleh Abang Paq imbas sejarah keluarga? Benarkah berita yang menjelajah dari satu skrin ke satu skrin komputer, kononnya arwah merajuk dengan abang?

Kami ini orang susah, miskin harta, kerja bendang, buat kerja-kerja kampung, lepaslah duit makan. Anak kedua (atas arwah) meninggal dunia tahun 2013, maka tinggallah kami berdua. Sekarang, selepas arwah tiada, tinggallah saya seorang. Dia kalau balik memang mai rumah saya, minum kopi, makan nasi dengan ikan bakaq cicah ayaq asam. Kami tak dak bergaduh apa pun, nak merajuk apa pun? Arwah Pak Yus ni pendiam orangnya, tak suka cerita apa pun masalah dia, suka pendam perasaan. Saya juga pemain muzik, macam arwah. Kami pernah duduk di Taman Budaya Peghelih, tapi biasalah, show pun tak dak. Pak Yus ni main teater, pemuzik, menari, tapi Abang Paq main muzik ajalah. Abang Paq sendiri ada kumpulan muzik unplugged.

Abang Paq sukakah dengan lawaknya?

Kami ni adik-beradik memang kuat berlawak dengan bapak. Ibu pulak kuat melatah. Orang Peghelih kata, kami melawok mengata orang teruk-teruklah, haha. Dia ni memang macam-macam, semuanya mai dari aqai dia sendirilah. “Cengkera, cengkera, jinperak, jingkalewak jinggalak...” Mana ada pelawak lain buat lagu tu? Mana ada pelawak berani panggil Datuk Yusuf Haslam tu drebar dia? Betui tak?
Abang Paq tahu dia kuat bersedekah, beramal jariah?
Baru hari ni Abang Paq tau cerita. Sebelum ni kalau dia balik Peghelih, dia mai rumah Abang Paq, tak pernah sekali dia habaq kat Abang Paq yang dia ada sedekah sana, sedekah sini. Dah meninggal dunia, barulah keluaq rahsia ni.

Kali akhir bercakap dengan arwah?

Dia ada telefon Abang Paq.“Bang, ni ada orang nak mai interviu kat rumah, untuk rancangan Sembang Pacak.” Kali terakhir dia balik ke Peghelih untuk komitmen kerja dengan Sabri Yunus, nama ceritanya Che Pa, memegang watak Ketua Kumpulan Hadrah, “Sabri Yunus ni bagi peranan kat aku ni, betui macam arwah pak kita dulu.”
Gembira benar nadanya.

SABRI YUNUS 

Guru Perfileman Arwah Pak Yus 

Sabri Yunus satu-satunya pengkarya yang sempat mengabadikan saat-saat akhir Pak Yus ke layar perak. Ceritakan?

Sebenarnya ada dua lakonan terakhir Yus, kedua-duanya tertukang di tangan saya, masih menunggu masa untuk ditayangkan, insya-Allah tahun ini. Sebuah filem untuk ASTRO Shaw dan Balang Rimbun, judulnya Dukun Doktor Dani. Selepas buat filem, saya terus hasilkan sebuah supertele untuk ASTRO First yang berjudul Che Pa. Inilah dua lakonan terakhir Yus untuk layar perak, kedua-duanya menyaksikan sisi bakat yang amat berbeza daripada Yus yang pekat dilangsiri imej ‘Jambu'.
Saya masih ingat bagaimana saya melihat Yus pada saat dia mula-mula diuji bakat bersama pasangannya, Che Mat, di Pulau Pinang. Saya terpesona dengan identiti kampungnya, tidak malu mempamer akar budayanya. Komedinya tidak begitu tajam, tetapi content dan latar budaya yang dibawa amat bagus. Subjek yang diangkatnya adalah wayang kulit. Namun ia bergaul mesra dengan mesej-mesej kerakyatan, berbancuh kebijakan unsur-unsur humor. 
Melihat Yus di pentas uji bakat, seperti melihat ke dalam diri saya sendiri. Identitinya tersendiri. Bagaimana satu anak kampung cuba menjuak subjek kampung yang amat kekampungan. Cuba merebut perhatian para juri. Kala itu kami seperti terpaksa menelan satu demi satu content yang kebanyakannya sudah sebu dengan kisah-kisah lawak urban, sindir-menyindir badan-gemuk kulit-hitam gigi-jongang, juga isu-isu artis kita. Kebanyakannya sudah boleh kita ramal dan jangka. Tetapi dia lain.
Kerana itu saya memilih Yus untuk diserap ke saringan berikutnya. Saya juga antara individu yang terlibat mengajar Pak Yus di rumah Raja Lawak bersama guru yang lain seperti Jalil Hamid, A.R. Badul dan Datuk Jamali Shadat.
Sepanjang menggurui Yus, dia antara paling rapat dengan saya. Dalam Raja Lawak musim pertama, peserta lain boleh saya kategorikan sebagai ‘amat kuat’. Definisi amat kuat di sini terukur daripada bakat semula jadi, kepintaran berhumor, bersekali populariti dan pakej-pakej yang dituntut oleh industri hiburan. Sepanjang minggu pertandingan, Yus antara peserta yang meraih markah tinggi. Tapi setiap kali bermula show baru – selepas undian berjalan selama seminggu — Yus jatuh tiga tangga tercorot. Anehnya, kala live show, undiannya naik semula. Mencanak-canak. Corak graf itu kekal untuk beberapa minggu. Nyata ia menggelisahkan Yus.
Tapi saya katakan kepadanya, “Kau jangan risau sangat tentang undian kau. Yang penting, tumpukan kepada show. Minggu terakhir, semuanya tergantung kepada kualiti show setiap peserta dan hemat juri. Bagus show kau, bagus jugalah kesudahannya nanti.”

Firasat Abang Sabri selepas melihat bakat dan potensi Yus?

Saya melihat Yus ini tidak terpengaruh dengan mana-mana — atau siapa-siapa — kerana identitinya berbalutkan humor yang ditiup roh-roh tradisional yang kekampungan. Dia dengan Mek Mulungnya, dengan Hadrahnya, dengan paluan geduk dan semborongnya.
Seperti Johan, ada sedikit pengaruh Salih Yaakob di dalamnya. Seperti Zizan, diresapi pengaruh Apek. Tetapi Yus tidak bersandarkan mana-mana ikon yang lain, kerana kejatian dirinya sudah terlalu besar dan apa sahaja yang termuncul terkemudiannya, adalah tulen identitinya sendiri. Tapi saya terpanggil untuk mengembalikan Yus kepada yang asal, kepada dirinya yang saya kenali sewaktu dia mula-mula datang untuk uji bakat. Dalam filem Dukun Doktor Dani (lakonan pertama Taufik Batisah), saya katakan kepadanya, saya mahu dia tinggalkan lawak-lawak pentas dan sketsa, saya mahu dia kembali ke titik asas yakni seni lawak perfileman. 
Dalam Che Pa pula, saya mencabarnya memerankan watak sebenar almarhum ayahnya, Edoo, sebagai pemain gendang Hadrah. Yang menariknya tentang lakonan terakhir Yus ini, dia kembali mengucupi tanah tumpah darahnya di Perlis, dia kembali berlakon menggauli sahabat-sahabat teaternya, dia kembali beraksi dengan pasangannya dalam Raja Lawak pertama, dia kembali berkepompong dengan rakan-rakan almarhum ayahnya.
Menyusupkan kembali bakat dan akar tradisinya ke dalam filem dan supertele arahan saya ini, membuat saya terfikir, bahawa saya harus mengeluarkan dia daripada imej ‘Jambu’. Saya mencari originaliti. Maka kerana itu saya katakan kepadanya, saya mahu menukar namanya, saya tak mahu gunakan nama Yus Jambu.
Dia hairan, “Pasaipa kena tukar?”
Kata saya, “Sebab tak ada kejambuan awak dalam filem ni, Yus. Tak ada jambu-jambunya watak kamu di sini, kamu faham?” Saya usulkan nama Yussry Edoo. Dia setuju namun dengan syarat gunakan nama Yuss Edoo.

Abang perasan sebarang perubahan sebelum dia meninggal dunia?

Ada satu perkara menarik yang saya terkesan sepanjang kami bekerjasama untuk dua karya terakhir ini. Apa yang menariknya? Harus saya katakan Yus memberi komitmen dan kesungguhan luar biasa. Tidak pernah saya melihat kesungguhan dan semangat Yus itu, tidak seperti kelaziman, tidak seperti saya melihatnya seperti mana saya pernah mengarah Yus untuk Karoot Komedia misalannya. 
Yus ini jenis tak boleh menghafal skrip. Dia bercakap ikut suka hati dia, sebab itu kalau dalam Karoot Komedia, saya biarkan dia ‘pergi’ sendiri tanpa keterikatan pada skrip dan kertas. Tapi untuk filem ini, dia datang berjumpa saya dengan skrip yang sudah dihafali, persediaan watak yang amat mantap, dan dia tidak bermain-main di set penggambaran. 
Saya betul-betul terkejut dengan perubahan ini. Ya, dapat juga saya recall di sini, sepanjang penggambaran, dia tidak pernah bergurau, tidak berani berlawak semberono dengan saya. Saya lihat dia sangat bertertib. Sangat menghormati. Cuma saya terkilat juga wajah letih Yus.
Scene terakhir untuk Yus kami langsaikan jam tiga pagi. Jadual scene tersebut terpaksa saya rombak kerana menghormati komitmen Yus yang terpaksa berulang-ulang ke Kuala Lumpur untuk Super Spontan yang sedang hangat berlangsung di ASTRO. Kasihan, tertidur-tidur dia di set penggambaran. Tetapi saat tiba giliran dia ke depan kamera pada santak pagi, dia bangun dengan cergas dan bersemangat sekali, seolah-olah malam baru bermula! Begitu sekali penyerahan jiwa Yus untuk karya ini.
Tamat scene terakhir, saya genggam tangannya, berjabat erat, bertukar peluk. Katanya, doakan dia dapat tempat ketiga untuk Super Spontan.
“Tempat ketiga aja?” Saya hairan, sedikit terganggu di situ kerana merasai semangat Yus luruh merudum. 
“Satu dan dua dah ada orang punya,” katanya seperti jauh hati, “Doakan saja dapat tempat ketiga.” Dan ya, dia akhirnya mendapat tempat ke-4.

Budi pekerti Yus yang toleran, selalu simpatik dalam pergaulan, Abang Sabri melihatnya sejak bila?

Ini antara sifat-sifat asal Yus, bukan sikap-sikap baru. Semasa duduk di kelas Raja Lawak, ramai kawan yang membantu Yus, maka saya tak pelik jika dia membalasnya kembali.
Akhir-akhir ini, apabila hidupnya sudah bertambah selesa, maka sudah tentu selesa juga untuk dia membalas budi dan membantu siapa-siapa yang dia mahu. Semasa di set penggambaran, dia tidak berkedekut, sentiasa mahu menjaga makan-minum kawan-kawan. Dia akan ke pekan membeli makanan, gula, biskut, roti, kopi, teh, hatta cawan, teko dan cerek elektrik pun dibelinya untuk kemudahan semua. Senang cerita, barang di dapur sementara kami dah macam 7-Eleven sebab dia. 
Seperti biasa, dia suka beri hadiah. Saya sendiri, pernah dihadiahkan dua perkara oleh Yus. Pertama, sepasang kasut. Kedua, sebilah kapak yang sangat cantik.

Hadiah kapak? Apa signifikannya?

Ya, kapak itu bukan kapak biasa. Kapak itu ditukang, dikelok, diperinci, diasah elok di bumi Perlis. Ditukang sendiri oleh sahabat baiknya. Bentuknya unik. Sewaktu dia menunjukkannya kepada saya, saya tertarik sangat, lalu mahu menempah satu. “Tak payah tempah-tempahlah bang, ambil saja yang ini."

Tidak keterlaluan jika saya menyifatkan bakat Yus ini terkembang di tangan Abang Sabri, dan bakat itu terkuncup kembali kerana ajal yang memanggilnya. Apa harapan Abang Sabri yang tidak sampai? Juga harapan Abang Sabri terhadap industri?

Saya sebenarnya (diam seketika), terlalu tinggi harapan saya kepada Yus. Kerana saya melihat dia berbeza dengan yang lain. Penghibur lain misalannya, memiliki beberapa kebolehan lain selain berlawak. 
Tapi, ruang lingkup bakat Yus jauh lebih besar, dia boleh melakukan hampir kesemuanya. Dia boleh berlawak, menyanyi, menari, bergendang, berteater, berpuisi. Cuma ya, melukis saja yang dia tidak mampu.
Masalah Yus, pendedahan yang diterimanya masih belum sampai ke peringkat sewajarnya. Saya sendiri datang dari latar sama, tetapi saya terasuh dan tergilap selama sembilan tahun di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Nilai-nilai budaya itu didenyutkan dengan banyak aktiviti-aktiviti kesenian anjuran DBP. Yus pula, selepas dibintangkan oleh Raja Lawak, dia dibawa terjun ke dalam industri hiburan, dunia komersil yang silau dengan kerlip-kerlip glamor. Elemen-elemen budaya dan nilai-nilai kampung yang kekampungan itu tidak dapat diserlahkan untuk tatapan khalayak.
Banyak limitasi di situ. Sayang sekali.

JON EKZOS

Sahabat Baik Arwah Pak Yus 

Pahit-getir kehidupan lalu hanya kalian berdua yang tahu, boleh kongsikan?

Pak Yus ini suka berkawan, tidak sombong, dengan siapa saja pun dia berkawan. Tak kira mat rempitkah, orang gilakah, semua jadi kawan. Kalau dia terlihat mak cik tua jual keropok di kaki lima bank, dia akan hulurkan RM50, tetapi keropoknya tidak diambil pun. 
Kalau dia nampak mak cik meminta sedekah dengan sederet anak, dia korek dompet dan hulurkan lagi RM50, “Nah mak cik, ambik duit ni bagi anak-anak makan.” Kalau kawan- kawan makan, nak sewa dewan futsal, dia yang membayarkan. Kadang-kadang bil makan minum orang yang dia tak kenal di kedai makan pun, dia akan bayarkan, begitu sekali kemurahan hati Pak Yus.
Kami sama-sama merantau dari Kedah, kemudian sama-sama masuk Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab). Kami pernah tidur di Rumah P. Ramlee di Taman Kebudayaan di Penang, tidur di bilik sempit di belakang pentas. Kami cari duit dengan cara menyanyi dan bermain muzik di kedai makan setiap Sabtu dan Ahad. Saya bermain rebana, Pak Yus bermain gitar, Man menggesek biola.
Arwahlah orangnya yang membawa saya masuk ke bidang ini. Saya sertai audition Raja Lawak bersama partner saya (Lan), di Ipoh pun atas dorongan Pak Yus. Daripada suka-suka menjadi PA tak rasmi Pak Yus, mengekornya ke sana-sini, mengurus jadual shownya, saya sempat juga berguru dengannya. 
Pesannya selalu, dengan orang tua-tua, jangan biadap, jaga ibu ayah, rupa tak penting tapi hati kena ikhlas. Di Alor Staq, kami duduk dekat dua tiga tahun juga, lepas itu ke Penang, kemudian ke Perlis bermain teater dan muzik. Kalau di kampung, dia suka duduk berangin seorang diri di bawah sebatang pokok asam. Di situlah tempat dia selalu mencari ketenangan jiwa, tempat dia menangis, tempat dia mencari dirinya yang hilang.

Jon pernah nampak dia menangis?

Kami pernah buat satu rakaman suara untuk rancangan kanak-kanak, takdirnya waktu itu berlaku perselisihan faham antara kami kerana mulut-mulut orang. Kami tiba- tiba dingin. Suasana itu buat kami gelisah, akhirnya Pak Yus bersuara, “Hang ni macam dok bengang kat aku, pasaipa? Hang tak puas hati tang mana ni?"
Saya mengalah, kami saling minta maaf kerana saling teriak, lalu kami sama-sama menangis. 

Perkara paling Jon rindu tentang arwah?

Saya rindukan gurauan arwah, dia suka menyakat, suka mengejek, “Hang ni suka sangat pakai cap, dahlah takdak rambut, cehh!” Sedangkan tak lama selepas itu dia pun pakai cap sebab meniru gaya saya. Seperkara lagi, ‘line’ magik yang selalu Pak Yus gunakan dalam persembahan, “Cin kalewa lewanuku, lewanaka cipolek walana cigeduq!” Satu lagi kalau Kak Rosie pernah dengar, “Ayun pak denak, sampai Kola Peghelih, tidoq tak seronok, nak nikah tak boleh..."
Huih, memang legend!

Saat akhir Pak Yus di ambang pemergiannya?

Malam persembahan di Dataran Merdeka, Pak Yus kelihatan letih. Waktu menyanyi, sekejap-sekejap di menoleh ke belakang, sekejap-sekejap dia duduk di atas drum untuk hilangkan lelah. Ramai tak tahu, Pak Yus menyanyi pakai bengkung, katanya untuk ‘cover’ perutnya itu. 
Masuk kereta, dia suruh kami cepat-cepat hidupkan air-con, dia buka baju, buka kasut, berpeluh-peluh kepanasan. 
“Hang hantaq aku balik rumah dulu, lepas tu baru hantaq Pak Cu dan Abang Amir balik,” pintanya, tak sabar mahu pulang. Sewaktu tiba di Jalan Kuching, katanya lagi, “Tutup air-con,bukak tingkap.” 
Rupa-rupanya itulah ayat terakhir Pak Yus sebelum dia tiba-tiba terkena serangan sawan. Kami panik, kami pegang perutnya. Keras!
Saya hentikan kereta di tepi jalan, kebetulan ada polis trafik di belakang kereta kami, “Encik pusing sini, encik pergi ke HKL.” Tapi sewaktu polis trafik menunjuk arah, telinga dan minda saya sudah tidak dapat mencerna kata-kata dari mulutnya. Seperti semuanya sudah terlalu lambat untuk Pak Yus. Saya berlari semula ke kereta lalu memecut ke Hospital Selayang. 
Tiba di sana, kami buka pintu, ambil kerusi roda, angkat Pak Yus lalu menyorongnya sepantas kilat ke zon merah. Jururawat yang bertugas bertanyakan penyakitnya. “Dia ada sakit jantung, darah tinggi dan kolesterol," ujar kami. “Encik, macam mana ni? Dia dah tak bernafas dah ni…”
Mendengarnya, hati saya luluh, bergemuruh, hah, biar betui! Kaki saya lembik, lutut saya menggeletar, saya rasa seperti mahu pengsan. 
“Tak apa, kami usaha sedaya upaya kami,” sekumpulan petugas berjanji sebelum jasad Pak Yus yang sudah tidak bergerak itu bertukar tangan sepantas kilat. 
Saya dapat lihat dari jauh sekumpulan doktor dan jururawat mengepam dada, melihat bagaimana Pak Yus bertarung mendepani ajalnya, bunyinya seperti gempur kerbau mahu berlawan. Saya tak sanggup melihatnya lalu keluar dari situ. Awe akhirnya sampaikan berita bahawa doktor mengesahkan Pak Yus sudah tiada. Saya reda dengan takdir ini. Hanya Allah SWT yang memegang tamsil rahsia kejadian ini. Ya Allah, ampunilah kami…
Ya Rabb! Penawar kegelisahan itu terjawab sewaktu artikel ini berjaya saya titikkan. Menyungguhi artikel ini membuat saya lebih mengerti dendam cinta Almarhum Pak Yus pada industri yang digelumanginya ini. Ah, saya mahu tidur malam ini, bermimpikan Pak Yus dalam balutan baju-T merah jambu neon, datang ke meja kerja saya untuk mengucap terima kasih lalu berkata dengan muka selamba 10 sen: “Err, tuju lagu? Boleh tuju lagu?”

Al-Fatihah buat Yussry bin Edoo, (15 Mac 1976 - 30 November 2015)

#PakYusDalamKenangan


EmoticonEmoticon